My passion to WRITE preceeds me, My urge to be RIGHT defeats me, Certainly, my intent not to be WRONG, guides me. This is my journal, abt life. Abt how I see life. Pls dispute me if you may!...I don't want anyone to agree with me...totally.

Sunday, April 30, 2006

makna hilang, ketawa, gembira, benar

hilang:
akan berganti rugi bila bumi dipijak tiada jati
terasa kosong bila teman dikasihi mula pergi
semakin sempit bila arah hidup mengaburi

ketawa:
cuma suara gembira yang sering tiada makna
sering terkeliru antara bahagia dan gembira
mentertawakan dan diketawakan sering tiada beza

bahagia:
hadir cuma-cuma dalam waktu seketika
tiada mudah digapai tanpa usaha
wang dan harta sering merosakkan nilai jitu nya

benar:
kehadirannya tak dapat disangkal walau benci menerima
terkandung nikmat tatkala jitu melaksanakannya
memberi makna bagi diri yang mahu merangkulnya

/dzan
april 2006

Saturday, April 29, 2006

makna sepi, jauh, jarak dan beza

sepi:
engkau berlari-lari jauh bila aku ingin mendengarkan suara sunyi
bila aku ingin menggapai hidup sendiri dalam pesta sehari-hari
engkau lah yang aku tercari-cari

jauh:
kita terpisah sekadar dari jarak mata, budaya dan selera
kita bertengkar dalam jurang yang berhaliluman sementara
kejauhanlah yang menyatukan kita

jarak:
mengukur mu adalah kerja sia-sia bila hati merasa cinta
membendong mu adalah garis-garis luka menularkan rasa hiba
engkaulah paling berharga bila jarak kita cuma sedepa

beza:
adalah ketara dari jenis darah dalam tubuh kita
adalah sama dalam bentuk harga mencari cinta bahagia
adalah sebenarnya matlamat persamaan hidup bersahaya

/dzan
april 2006

membaling batu sembunyi tangan

membaling batu ditangan
apakah itu dibilang pahlawan?
bila tangan itu disembunyikan
bila tangan itu yang merosakkan

tangan itu menjadi kuasa
tangan itu membentuk rupa
tangan itu membolot harta
tangan itulah menempah nama dusta
mengolah falsafat nyawa
melumat nilai warga

membaling batu sembunyi tangan
apakah itu dibilang pahlawan?

/dzan
April 2006

Saturday, April 22, 2006

doa mu bonda

bonda
doa mu masih segar
walau tegar lagi tangan manusia yang melumpuri
buaian yang pernah kau hayun
mencambah fitnah bernanah
tentang hati mu yang luhur
tentang suara mu yang kian luntur

yang terdahulunya purba
kini adalah wadah selera sementara
diatas nama seni indah
diatas usaha kepingan dollar
di atas kebebasan maruah
MAJU lah kira nya (?)

yang berpakaian indah
dibilang arabi
bukan lagi bangsa terperi
dibilang dungu menilai insani
dibilang ilmu secetek perigi

anak-anak mu
mahu berhijrah minda
dari barat, dari timur tengah
melantun jauh merata negeri-negeri ini
bermukim ke suatu benua Allah
dimana MARUAH adalah
tunggak tamadun manusia

/dzan
april 2006

Tuesday, April 18, 2006

setolol-tolol ide

bukan pilihan kata
bukan abjad-abjad konsonan
bukan pula pada susunan ayat-ayat 'POWER'

cuba buangkan makna
sekadar kutip seni selera
kita tambahkan lancang berbicara

yang tertinggal cuma ketawa
retorikal bercerita selamba
setolol-tolol ide

//aduh, si luncai terjun dengan labunya//

/dzan
april 2006

mengenang perang teluk pertama

aku pernah digua IRAQ
mencelah diterowong-terowong hitam
yang digali oleh hujan asing nan kejam
berdentum
berdentam
sepanjang siang
tak terkira malam

bukan tempat bermunawarah
bukan medan beristiharah

dari jendela al-jaheerah
terlihat indah
mercun dan bunga api menari-menari
hati tak terperi

didataran peta nyata tiada rata
ternyata telinga
terlihat mata
tercampak kepala
berkecai remuk rasa

tapi aku nekad
memungut semangat bangsa
walau sebenarnya aku tak kuasa

/dzan
april 2006

Sunday, April 16, 2006

berkaca dan bercermin

yang berkaca
memperlihatkan mereka
yang bercermin
membuka perisian diri

/dzan
april 2006

ikan

ikan dalam air
hilang nafasnya
lemas matinya

ikan dalam keroncong
langsung tak berguna

/dzan
april 2006

bangsa

bangsa terbilang
bangsa tunggu dibilang
bangsa telah hilang
didataran emas tanah orang
kini menjadi hamba-hamba nan sumbang
tapi diri terasa terjulang

dalam suara, tiada
dalam minda, berperca
dalam khayalan, selamanya
dalam kuasa, terlupa

/dzan
april 2006

Friday, April 14, 2006

sigai

aku sigai kelangit tujuh
agar tiada roboh
segala panji dan janji-janji
dalam perjalanan aku kembali
supaya dapat aku merentangi
mengimbangi diri diatas titi
dalam tiap baris ilmu-ilmu terkini
dipenghimpunan khutub-khanah pasti
melangkah dipenggarisan lurus
yang kian bengkok atau pun pupus

bukan bodoh
bukan sombong
bukan bodoh-sombong
bukan lagak
bukan pandai
bukan lagak-pandai

sekadar kecintaan dalam keberadaan
yang aku dikurniakan akal
mampu menggapai awan

/dzan
april 2006

Tuesday, April 11, 2006

riwayat kodok naik kejunjung

riwayat kodok naik kejunjung
kerajaannya
sekadar dibawah tempurung
terlungkup tempurung menjadi redup
dalam redup teraba-raba
terbuka tempurung menjadi murung
dalam murung berkilauan cahaya
tak terlihat dihadapan mata
namun perasan celik khazanah dunia

riwayat kodok naik kejunjung
bila berarak minta dipuja
anak dara mahu dikucupnya
ketagihan cinta kasih nak dara
terperi berharap menjadi putera sempurna
malang kudis disisik tak terlihat jua

riwayat kodok naik kejunjung
membuat ramai yang melopong
membikin fikiran terpinga-pinga
terkinja-kinja melawan fitrahnya
terpenyek dilanggar lori
dibunting oleh anak-anak sendiri

riwayat kodok naik kejunjung
kepintaran dalam terpinga
tatkala kain yang dikoyaknya
mahir disembunyikan bunyinya

/dzan
april 2006

Friday, April 07, 2006

gugup

sekaligus terserlah
kebodohan yang langsung
bersekutu dengan keangkuhan

aku jadi gugup tertunduk
memberi lalu
bisu dan kaku, bersorak
lalu aku berdiri bertepuk

anak-anak punai juga turut berangguk

//aku menjauh dari melebuh-lebuh bagai buntal ditiup//

/dzan
april 2006

Monday, April 03, 2006

aku menunggui mu

gerimis telah lama pergi
ku sandarkan harapan pada sang hujan
menanti, tapi lama tak kemari

ya.. terasa dingin sekali

aduh
tempayan telah ku pecahkan
air tiada dapat ku tadahkan
bagaimana dapat menyambung kehidupan?
apakah kemarau akan berpanjangan?

engkau mahu pergi?
habis...
siapa yang bakal mendalangi?
tempat ini, ruang ini, isi hati

//aku menunggui mu disini//

/dzan
march 2006